Akhirnya Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz buka mulut berhubung isu tindakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu, Azran Osman-Rani menuduh sebuah akhbar meniup sentimen perkauman.
Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno berkata, apa yang dinyatakan oleh Azran hanya pandangan peribadinya semata-mata, tiada kaitan dengan syarikat.
"Tentu sekali kita perlu bezakan antara pendapat dan kenyataan syarikat dengan kenyataan peribadi dalam media sosial," katanya kepada Sinar Harian.
Kelmarin, Wanita Umno menerusi kenyataan Penolong Setiausahanya, Datuk Rosni Sohar mendesak Rafidah menjelaskan pendiriannya sebagai bekas pemimpin Umno dan juga anggota Kabinet berhubung tindakan Azran.
Syarikat penerbangan itu juga diminta supaya tidak melupai jasa baik kerajaan yang ditunjangi Umno sebagai parti orang Melayu yang telah banyak membantu AirAsia mengembangkan perniagaannya hingga sampai ke tahap di mana ia berada sekarang.
Bagaimanapun kata Rafidah, semua pihak perlu memahami hakikat untuk membezakan pandangan peribadi (Azran) dengan kenyataan syarikat.
"Ini termasuk mereka yang telah membuat pelbagai komen berhubung isu ini," katanya.
Azran baru-baru ini menerusi akaun Twitter serta Facebook miliknya menyatakan pendirian meluatnya terhadap akhbar itu yang dilabel sebagai tidak mewakili Melayu Malaysia.
Beliau secara terbuka menerusi kedua-dua akaun laman sosial tersebut menyalahkan akhbar terbabit sebagai rasis kerana menyiarkan artikel di muka hadapan bertajuk Apa Lagi Cina mahu yang berkaitan dengan keputusan PRU13 pada 7 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment