Thursday, May 2, 2013

RELA sokong Kerajaan BN


Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said yang mengharapkan sokongan padu anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA)  pada PRU13 supaya Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan mandat untuk melaksanakan pembangunan dan mengekalkan keharmonian Negara, mendapat sambutan baik.

Ini kerana anggota RELA menyambut baik dan berjanji terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah melaksanakan pelbagai transformasi bagi memperkasakan peranan pasukan keselamatan itu sejak empat tahun lalu.

Menteri Besar  menyatakan harapannya  itu ketika berucap pada majlis bersama RELA Terengganu yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota RELA seluruh Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

"Saya berharap semua anggota Rela di Terengganu tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit, dan saya yakin tidak akan ada seorang pun anggota Rela akan menyokong parti lain selain BN," katanya.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Ketua Pengarah RELA Malaysia, Datuk Mustafa Ibrahim dan Pengarah RELA Terengganu, Tuan Ahmad Abdul Wahab.

 Hadir sama, semua calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Zubir Embong; calon BN Ladang, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Datuk Che Mat Jusoh (Batu Burok); Datuk Toh Chin Yaw (Bandar) dan Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf Mempelam).

 Pada majlis itu, seramai 197,000 anggota RELA berikrar sebagai tanda sokongan kepada BN sebagai PRU13, Ahad ini.

Pengarah Rela Terengganu, Tuan Ahmad berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang selama ini banyak memberi perhatian kepada soal kebajikan anggota Rela.

 "Semua anggota Rela di seluruh Terengganu sentiasa menyokong usaha kerajaan dan akan memastikan kerajaan BN akan terus diberi mandat untuk terajui negara," katanya.

Seorang anggota RELA dari Marang, Mohd Fahmie Mohd Yasin, 20, berkata dia berbangga dengan usaha kerajaan yang tidak meminggirkan peranan RELA yang sentiasa bersedia berkhidmat tanpa mengira masa dan ketika.

Saya amat berminat melakukan kerja sukarelawan dan RELA menjadi platform terbaik untuk melaksanakan tugas itu, apatah lagi kerajaan menyediakan pelbagai insentif yang menambahkan semangat saya menyertai pasukan itu,” katanya.

Seorang lagi anggota RELA dari Kemaman, Mohamad Ismail, 36, turut menyokong penuh pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan lagi mutu dan prestasi perkhidmatan RELA di dalam masyarakat.

“Saya menyokong 250 peratus apa yang sudah dilaksanakan kerajaan hari ini. Inilah bukti pemimpin yang sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan rakyat serta pasukan keselamatan negara.

“Komitmen kerajaan yang amat tinggi haruslah dibalas dengan perkhidmatan yang terbaik dan dipandang tinggi oleh seluruh masyarakat,”katanya.

Sementara seorang anggota dari Pusat Latihan RELA Melaka, Nur Izwana Salamun, 28, juga mendukung hasrat kerajaan untuk melihat pasukan RELA lebih relevan dan sama penting dengan anggota keselamaan yang lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis.

“Walaupun hanya berkhidmat dalam pasukan pancaragam dan bukan bertugas luar seperti rakan RELA yang lain, sebagai anggota sukarelawan, saya tetap menyanjung tinggi setiap insentif dan galakan yang disediakan kerajaan.

“Malah, jika perlu berkhidmat di mana sahaja, saya dan rakan sepasukan bersedia demi menzahirkan taat setia dan komitmen kepada kerajaan yang sudah banyak berjasa kepada kami semua anggota RELA,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment