Wednesday, May 8, 2013

Sang Penyu Dimalukan Di Tempat Sendiri, The Titans Terus Kecundang

Pertemuan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Johor Darul Takzim FC (Johor DT), 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.

Pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII FC terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas mengalahkan Terengganu, 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Turut mencatatkan kemenangan ialah Selangor PKNS FC yang menundukkan wakil kelab Terengganu, T-Team dengan keputusan 2-1 di Stadium Shah Alam.

Kemenangan Lion XII FC itu membolehkan skuad bimbingan V. Sundramoorthy itu untuk terus menerajui takhta liga dengan 31 mata selepas 15 perlawanan.

Pada perlawanan itu, pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan selepas menyambar hantaran silang daripada G.Puaneswaran pada minit ke-63 sebelum pemain pertahanan pelawat, Baihakki Khaizan menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk sepakan penjuru kapten pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-78.

Kesilapan pertahanan Terengganu, Hasmizan Kamarodin yang menanduk masuk gol ke dalam gawang sendiri hasil sepakan percuma Shahril pada masa kecederaan membolehkan wakil Singapura itu mengutip tiga mata penuh.

Terdahulu, pasukan pelawat ditimpa malang selepas pemain pertahanannya, Madhu Mohanna dibuang padang oleh pengadil perlawanan, Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim pada minit ke-86 kerana mengutip kad kuning kedua.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mengekori rapat kedudukan Lions XII FC di persada liga selepas mengalahkan Johor Darul Takzim FC (Johor DT), 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Marlon Alex James muncul wira skuad 'The Gladiators' dengan dua gol masing-masing pada minit ke-55 dan 63. Pasukan selatan tanah air itu berpeluang mengurangkan defisit jaringan namun sepakan penalti yang diambil oleh Leonel Nunez pada minit ke-65 berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun.

Kelantan turut meneruskan momentum kemenangan selepas membelasah Felda United, 3-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Tiga gol skuad The Red Warriors dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-32 dan 35 serta kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi pada masa kecederaan. Perak yang kembali beraksi di Stadium Perak, Ipoh buat kali pertama musim ini ekoran masalah lampu limpah turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan pasukan tercorot liga, Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1.

Skuad Seladang selesa berada di hadapan menerusi jaringan Paulo Rangel pada minit ke-22 dan Azlan Ismail (minit ke-61) sebelum Mohd Nazrin Mohd Nawi mengurangkan defisit jaringan untuk pasukan pelawat pada minit-minit akhir perlawanan.

Sementara itu, Pahang gagal menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri selepas hanya mampu terikat seri 2-2 ketika melayan kunjungan Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

No comments:

Post a Comment