Saturday, May 18, 2013

Tasik Kenyir Mampu Tarik Sejuta Pelancong Tahun Depan


Tasik Kenyir dijangka mampu menarik kehadiran sejuta pelancong dalam tempoh setahun apabila kawasan bebas cukai di Pulau Bayas beroperasi menjelang akhir tahun depan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata 400,000 pelancong melawat Tasik Kenyir tahun lepas dan angka itu meningkat 100,000 berbanding 2011.

"Tahun ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) ia dijangka dikunjungi pelancong sehingga setengah juta orang," katanya ketika merasmikan Festival Tasik Kenyir anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sempena TMT 2013 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, kelmarin.


Turut hadir Pengurus Besar Ketengah Wan Mat Amin Wan Daud serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Datuk Mohd Jidin Shafee.

"Ketika ini kerajaan sudah membelanjakan RM33 juta bagi menyediakan bekalan elektrik di Pulau Bayas sebagai kerja-kerja awal pembinaan kawasan bebas cukai di tasik berkenaan," katanya.

Ahmad Said berkata bagi menampung kedatangan pelancong, kerajaan negeri akan membina sebuah hotel 327 bilik di Pulau Bayas, dua lagi hotel masing-masing mampu menampung 300 dan 150 bilik, chalet dan rumah tumpangan.

Mengenai Festival Tasik Kenyir yang berlangsung selama lima hari, Ahmad berkata objektif festival itu diadakan ialah untuk mempromosi Tasik Kenyir kepada pelancong sebagai sebuah destinasi pelancongan alam semulajadi yang mempunyai pelbagai tarikan.

No comments:

Post a Comment