Wednesday, May 22, 2013

TDM Catat Keuntungan Sebelum Cukai Yang Lebih Rendah Pada Suku Pertama

Keuntungan sebelum cukai TDM Bhd bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac, 2013 susut 25 peratus kepada RM19.3 juta berbanding RM25.8 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas. 

Perolehan susut 7.8 peratus kepada RM90.1 juta berbanding RM97.7 juta, menurut syarikat dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Badrul Hisham Mahari berkata bahagian perladangan merekodkan perolehan 13 peratus lebih rendah kepada RM62.2 juta berbanding RM71.2 juta manakala keuntungan sebelum cukai turun 36 peratus kepada RM14.8 juta berbanding RM23.2 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.


"Penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh harga minyak sawit mentah yang rendah sebanyak RM2,265 setan metrik (MT) berbanding RM3,072/MT pada tempoh perbandingan yang sama sebelumnya," katanya.

Syarikat itu bagaimanapun terus positif terhadap prestasi bahagian perladangan, selari amalan terbaik yang digunakan di ladang dan kilang dari segi meningkatkan produktiviti an pengurusan kos yang berkesan. 

Sementara itu, segmen penjagaan kesihatan mencatat keuntungan sebelum cukai sukuan yang paling tinggi sebanyak RM4.5 juta, peningkatan 65 peratus berbanding RM2.7 juta yang dicatatkan pada tempoh perbandingan yang sama setahun lepas, kata Badrul Hisham.

"Perolehan bahagian penjagaan kesihatan meningkat lima peratus kepada RM27.9 juta berbanding RM26.5 juta pada tempoh perbandingan yang sama sebelumnya.

"Perolehan yang tinggi itu disumbangkan sebahagian besarnya oleh peningkatan jumlah pesakit dalam wad dan penambahan kes dalam kalangan pesakit," katanya.

No comments:

Post a Comment