Monday, June 3, 2013

Ahli KWSP Digesa Semak Penyata Kira-Kira 3 Jun

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan kempen pengiklanan untuk menggesa ahli-ahli menyemak penyata kira-kira KWSP mereka bagi memastikan caruman dibuat dengan teratur.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata kempen tersebut yang bermula hari ini sehingga 14 Jun, akan disiarkan menerusi radio dan televisyen.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata ahli-ahli perlu memeriksa penyata kira-kira mereka untuk mengesahkan caruman dibayar dengan betul dan tepat pada masa.

"Sebagai contoh, mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah perlu menerima 13 peratus caruman daripada majikan manakala ahli yang berpendapatan RM5,000 ke atas pula menerima 12 peratus caruman," katanya.

Nik Affendi berkata KWSP baru-baru ini telah selesai menghantar penyata kira-kira tahunan untuk tahun 2012 kepada 6.85 juta ahli.

"Sebagai pilihan, ahli boleh mendapatkan penyata kira-kira mereka melalui saluran elektronik yang disediakan KWSP -- i-Akaun dan Kiosk EPF.

Dengan i-Akaun, ahli mempunyai kemudahan untuk mengakses penyata KWSP pada bila-bila masa dan di mana jua.

"Bagi Kiosk KWSP, ahli-ahli boleh mencetak penyata kira-kira mereka menggunakan MyKad dan pengesahan cap ibu jari," katanya.

Beliau berkata ahli-ahli juga boleh mendapatkan penyata kira-kira di cawangan KWSP berdekatan dengan mengemukakan kad pengenalan mereka.

"Bagaimanapun, KWSP ingin menegaskan sebagai langkah keselamatan ahli tidak dibenarkan mendapatkan penyata kira-kira melalui telefon," katanya.

Niz Affendi berkata ahli-ahli yang berpindah daripada alamat lama diminta untuk mengemas kini alamat kediaman mereka dengan KWSP kerana penyata kira-kira akan diposkan ke alamat kediaman ahli yang berdaftar dalam rekod KWSP.

Ini adalah untuk memastikan penyata yang mempunyai maklumat sulit tidak terjatuh ke tangan pihak lain, katanya.

No comments:

Post a Comment