Thursday, June 6, 2013

Atlit Berbasikal Terengganu Maut Dalam Nahas Ketika Berlatih



Pelumba basikal pasukan Terengganu, Mohd Shafik Imran Shahri,15, (gambar kecil) maut digilis lori selepas dipercayai mengelak lubang di atas jambatan di Kampung Guntung, Tepuh, Kuala Terengganu, semalam. 

Seorang pelatih skuad projek pelapis lumba basikal negeri Terengganu maut manakala dua lagi cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika menjalani latihan harian di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Shafik Imran Syahril, 15, dari Kampung Cabang Tiga, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala pelatih yang cedera ialah Ahmad Fikri Ahmad Fazli, 19, dan Cikku Mohamad Nadzmi Cikku Ramli, 19.

Ia berlaku ketika kira-kira 40 pelatih lumba basikal Terengganu termasuk dari pasukan TSG, Skuad Sukma dan projek pelapis pasukan lumba basikal Terengganu menjalani latihan harian yang bermula pada kira-kira 8.30 pagi dari Kuala Terengganu menuju ke Bukit Besi melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).

Selepas setengah jam, apabila sampai di Kampung Tepuh melalui sebuah jambatan pendek, mereka mengelak ke sebelah kanan jalan bagi mengelak satu lubang di tengah jalan.

"Seorang pelatih terlanggar lubang berkenaan diikuti tiga pelatih lain termasuk mangsa serta dua rakannya, Ahmad Fikri dan Cikku Mohamad Nadzmi.

"Bagaimanapun, Ahmad Fikri dan Cikku Mohamad Nadzmi sempat bangun manakala mangsa tidak sempat lalu bergesel dengan lori yang datang dari arah depan mengakibatkan mangsa cedera parah di bahagian kanan badan," kata jurulatih Lumba Basikal Terengganu, Syed Hussein Syed Mazlan.

Beliau berkata, Mohd Shafik merupakan atlit lumba basikal yang mempamer prestasi semakin meningkat dari sehari ke sehari, dan kehilangannya adalah satu kerugian buat arena berbasikal negara.

Sementara itu, Cikku Mohamad Nadzmi berkata, beliau dan Ahmad Fikri terjatuh selepas terlanggar lubang namun mereka sempat bangun serta melihat mangsa yang tidak sempat berbuat demikian bergesel dengan lori.

Beliau berkata, meskipun keadaan Mohd Shafik parah, mangsa masih boleh bercakap semasa dibawa ke hospital dengan ambulans.

"Dia ada menyebut nama ibunya, Tuan Jarah Kamariah Tuan Ahmad, 40, dan meminta tolong kasutnya dibuka.

Ketika itu saya rasa sungguh hiba," katanya ketika ditemui di HSNZ.

 Turut berada di hospital ialah ibu mangsa, Tuan Jarah Kamariah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Husin.


1 comment:

  1. Kejadian ini adalah serius, post mortem modul latihan pasukan pembangunan mesti dinilai semula. Kejadian berpunca daripada van persatuan yang mengawal lalulintas dan mengikuti pelatih tiada kerana mengisi minyak.Sepatutunya pihak persatuan mahupun msn kena pastikan pemandu mengisi petrol setiap petang sebelum habis kerja. Mintalah MSN mahupun Persatuan disiplikan kakitangan mereka terutama dalam perkara yang melibatkan nyawa pelatih ini.

    Minta Datuk Timbalan SUK Terengganu (Pengurusan) selaku ketua kepada MSN mengarahkan perberhentian dulu latihan bawah pembangunan serta jalankan siasatan terperinci insiden ini dan laporkan kepada kerajaan negeri tindakan disiplin yg perlu diambil keatas pegawai yang bertanggungjawab kehilangan nyawa wira muda Terengganu ini.

    Apa-apa pun sekalung Fatihah buat wira muda negara adik Muhd Shafik ini, kita irngkan doa rohnya ditempatkan Allah bersama ambia' dan suhada.

    Siasatan dan tindakan segera terhadap pihak yang berwajib dengan insiden ini perlulah disegerakan terutama terhadap MSN dan Persatuan serta Jurulatih bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

    ReplyDelete