Sunday, June 9, 2013

Ibu Bapa Perlu Peka Keperluan Anak - Sultanah Terengganu


Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah menasihatkan ibu bapa agar sentiasa peka dengan perubahan dan keperluan semasa agar dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh anak-anak mereka.

Titah baginda, anak-anak adalah modal insan yang menjadi pewaris bagi meneruskan agenda negara, justeru potensi mereka harus dipupuk agar menjadi insan berilmu, beriman serta berakhlak mulia.

"Anak-anak perlu dibimbing supaya mereka mempunyai kekuatan dan daya ketahanan daripada terpengaruh dengan budaya sosial yang memesongkan.

"Beta menyeru ibu bapa supaya meluangkan masa, memberikan perhatian dan kasih sayang dengan penuh tanggungjawab agar dapat benar-benar mengendalikan potensi mereka," titah baginda. Sultanah Nur Zahirah bertitah demikian pada majlis perasmian Seminar Kenali Anak Kita Petronas (KAKP) Zon Timur, anjuran Petronas dan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih),semalam.

Baginda turut memuji program anjuran Petronas itu yang dapat memberi faedah kepada banyak pihak. Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas Haniff Hassan dalam ucapannya, berkata KAKP yang dianjurkan sejak 2009, mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dengan purata kehadiran 99 peratus pada setiap seminar.

Penilaian yang dijalankan mendapati ibu bapa yang menyertai program KAKP meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak iaitu daripada 2.35 jam sehari kepada 4.46 jam

"Kolaborasi antara Petronas dan Pengasih pula dilihat sebagai satu kerjasama pintar yang memberi faedah kepada masyarakat di negara ini dalam mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih sejahtera.

"Kami berharap program KAKP akan terus membawa kesan positif kepada peserta dan juga masyarakat di negara ini terutama di Terengganu.

Justeru kali ini saya yakin beberapa langkah yang lebih efisien akan dilaksanakan oleh jawatankuasa penganjur," katanya

Program KAKP antara lain bertujuan melengkapkan ibu ibapa dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan bagi membantu mencegah penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan belia di negara ini.

No comments:

Post a Comment