Monday, June 24, 2013

PBT Perlu Peka Kehendak Rakyat Pastikan Persekitaran Bersih - Ahmad Said

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu peka kehendak orang ramai dengan menjaga persekitaran yang bersih untuk kesejahteraan rakyat, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata seharusnya warga PBT memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat kerana sebagai sebuah agensi kerajaan ia merupakan harapan rakyat.

"Sehingga ini saya masih belum berpuas hati terhadap tahap kebersihan semua PBT di negeri ini. 

"Kebanyakan PBT melantik kontraktor untuk menjaga kebersihan kawasan masing-masing, namun PBT harus memantau kontraktor berkenaan agar kerja-kerja kebersihan dijalankan dengan baik dan sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam dan menyampaikan hadiah sukan PBT Terengganu di Marang malam kelmarin.

Turut hadir Yang Dipertua PBT Marang Zulkifli Ali.

Ahmad Said juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa warga PBT yang tidak menjalankan tugas dengan baik.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti petugas yang terlibat dan akan menukarkannya ke PBT yang lain.

Menteri Besar berkata kerajaan akan membina rangkaian premis kedai bagi menjana pendapatan dan menambah hasil PBT.

Tujuh PBT dan Pejabat Setiausaha Kerajaan mengambil bahagian dalam sukan PBT itu yang bermula Rabu lepas.

No comments:

Post a Comment