Sunday, June 2, 2013

PDRM Akan Terus Pantau Aktiviti Di Laman Sosial


Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau aktiviti di laman sosial dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menggunakannya untuk melanggar perundangan negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh setiap aktiviti sama ada ia berunsur jenayah atau hasutan, dan sekiranya ada bukti yang kukuh, mereka akan bertindak tanpa memberi amaran. 

"Kita tidak akan bagi amaran lagi kerana sudah banyak amaran yang diberi malah selama ini juga, kita sudah tunjuk tindakan tegas, tidak perlu lagi menghuraikan satu persatu apa yang perlu kita buat.
"Jika mereka jelas buat salah, kita akan terus laksanakan apa yang wajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi iaitu Mohd Akram Abd Rahim dan pasangannya, Shakira Mirza di kediaman rasmi Ketua Polis Negeri di Jalan Brown semalam.

Mohd Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas artikel sebuah akhbar tempatan berhubung tentera siber DAP, Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan serta memanipulasi fakta, termasuk menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu didedahkan bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP Shen Yee Aun dalam satu wawancara dengan portal berita Mynewshub yang dimuat naik ke laman YouTube.

Sementara itu, berhubung perkembangan penubuhan jawatankuasa bertindak oleh PDRM bagi mengendalikan kes kematian tahanan di lokap, Mohd Bakri berkata jawatankuasa terbabit akan dipengerusikan Ketua Polis Negara untuk memastikan serta melihat semula Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

"Kita akan memperketat perlaksanaan tugas dan tanggungjawab berkaitan lokap di mana kita kena tengok balik apa-apa yang ada dalam SOP bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan mengikut keadaan semasa.

"Jika dari aspek kelemahan dalam SOP sedia ada, saya tidak boleh memaklumkannya sekarang kerana penilaian masih dibuat bagi mencari kaedah terbaik penambahbaikan," katanya. -

No comments:

Post a Comment