Program memulihara biodiversiti marin Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai badan berkanun pertama di negara ini, melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dalam bidang tersebut.
Wakil MBR, Myra Dzaman Yusof menyampaikan sijil tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar, di Besut, Khamis lalu.
Mohd Shukor berkata program itu sebagai pemangkin kepada pembangunan Taman Batu karang di Teluk Pauh, Pulau Perhentian, Terengganu yang dijalankan selama empat hari sejak, 28 Mei lalu.
"Program tersebut melibatkan penempatan 37 bingkai besi berharga RM130,000 ke dasar laut Teluk Pauh oleh 63 penyelam skuba LHDN yang diharap dapat mewujudkan satu tempat selamat untuk pelbagai spesies marin di kawasan itu," katanya kepada pemberita.
"Aktiviti pemuliharaan batu karang seperti ini, sekurang-kurangnya dapat membantu dan menyokong sektor pelancongan, perikanan dan masyarakat nelayan," katanya.
Katanya, bingkai besi yang direka bentuk Universiti Malaysia Terengganu mewakili 36 cawangan LHDN di seluruh negara dan ibu pejabat di Cyberjaya.
No comments:
Post a Comment