Thursday, June 6, 2013

Projek Perkampungan Tanaman Padi organik di Hulu Besut

Menyedari produk makanan berasaskan organik semakin menjadi pilihan ramai, Jabatan Pertanian Terengganu akan mewujudkan perkampungan padi organik seluas kira-kira 86 hektar di Kampung Durian Telur, Hulu Besut.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri Md Yusof Maidin berkata projek perintis membabitkan kawasan seluas 10 hektar akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM209,000 untuk menyediakan kemudahan asas seperti jalan, parit dan meratakan tanah di tapak projek tersebut," katanya kelmarin.

Bagaimanapun beliau menjangkakan pelaksanaan sepenuhnya projek berkenaan akan mengambil masa untuk mengubah sikap petani kerana tanaman berasaskan organik lebih rumit penjagaannya di samping tidak menggunakan kaedah moden yang lazim mereka gunakan.

Katanya meskipun harga produk organik jauh lebih mahal, namun trend pengguna masa kini yang menitikberatkan gaya hidup sihat, tetap memilih produk organik yang dikatakan lebih selamat dan berkhasiat.

Md Yusof berkata jabatan akan membekalkan baja organik kepada petani yang menyertai projek itu. Katanya untuk jangka panjang, jabatan merancang melaksanakan projek ternakan ikan berkonsepkan organik di samping projek ternakan itik dan ayam kampung.

No comments:

Post a Comment