Sunday, June 30, 2013

SUKMA: Johor Pungut Emas Pertama Melalui Acara Lawan Pedang, Terengganu Gangsa

Kontinjen Johor merangkul pingat emas pertamanya melalui acara lawan pedang pada hari ketiga kejohanan Sukan Malaysia 2013 (SUKMA) di Kuala Lumpur, semalam.

Kilauan emas itu diraih atlet kebangsaan, Filzah Syabila Jamaluddin, 21, dalam acara Sabre wanita selepas mengalahkan Saw Sheue Ru dari Pulau Pinang dengan keputusan 15-6.

"Saya berasa bangga kerana berjaya memberikan Johor pingat emas pertama pada kejohanan Sukma terakhir saya," katanya ketika ditemui selepas upacara penyerahan pingat di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur.

Filzah Syabila juga gembira apabila berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali kedua selepas memperoleh pingat pertamanya pada Sukma 2011.

"Saya harap pasukan lawan pedang Johor akan terus mengungguli gelanggang dengan memungut lebih banyak emas pada hari-hari seterusnya," kata penuntut Universiti Putra Malaysia itu.

Pingat gangsa dikutip pasukan Terengganu melalui Ain Wahida Ibrahim dan Fanella Olivia Wong dari Sabah.

Bagi acara Sabre lelaki, Wilayah Persekutuan terus unggul dengan mengumpul pingat emas melalui Wong Ter Chyuan setelah mengalahkan atlet Selangor, Muhammad Rahmat Mohd Nor pada saingan akhir.

Gangsa diraih Joshua Gan Khai Teq dari Terengganu dan Mohamad Shafiq Rizal dari Johor.

No comments:

Post a Comment