Saturday, June 15, 2013

Suspek Dera Kanak-kanak 2 Tahun Di Kuala Terengganu Diberkas

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Hajah Norliza Mahmud kesal dengan kes penderaan kanak-kanak berusia dua tahun dari Taman Permint Permai, Bukit Chendering, Kuala Terengganu yang dipercayai didera teman lelaki ibunya, Isnin lalu.

Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Kampung Taman Permint Permai, Bukit Chendering di Kuala Terengganu.

Lelaki berusia 28 tahun yang merupakan teman lelaki ibu kanak-kanak itu, ditahan pada pukul 1.40 pagi semalam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Merawang, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan (gambar kiri) berkata lelaki yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Marang itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Semasa ditahan, kami turut menjumpai sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri di Kuala Terengganu dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya kepada pemberita kelmarin.

Isnin lepas, Jabatan Kebajikan Masyarakat menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya.\

Budak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan itu ditemui dalam keadaan sebelah kakinya berwarna kehitam-hitaman dan berbau busuk dipercayai akibat terkena objek panas lebih seminggu lepas.

Bertindak atas aduan orang awam menerusi Talian Nur, kanak-kanak itu memberitahu pegawai JKM dan anggota polis yang datang ke rumahnya bahawa kecederaan itu dilakukan seorang lelaki yang juga rakan ibunya.

Dia juga mengadu cedera di beberapa bahagian anggota badan yang lain namun ibunya yang berusia 30-an tidak membawanya ke hospital sebaliknya hanya membalut luka di kaki itu dengan sehelai kain.

Pengarah JKM Terengganu Zuhami Omar ketika dihubungi Rabu berkata kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)  dan doktor mengesahkan kecederaan pada kaki kanak-kanak itu disebabkan terkena objek panas.

 Katanya JKM masih menunggu laporan perubatan kanak-kanak itu dan jika disahkan berlaku penderaan, kes akan dirujuk kepada polis untuk siasatan dan tindakan.

Manoharan berkata polis telah merakam keterangan daripada ibu mangsa dan menggunakan khidmat Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) untuk mengambil keterangan daripada kanak-kanak berkenaan. 

"Berdasarkan siasatan awal, kami dapati memang terdapat unsur penderaan pada mangsa, dengan kecederaan paling serius ialah di bawah tapak kaki kanak-kanak itu yang melecur akibat bahan panas. 

"Kami percaya mangsa telah seminggu didera berdasarkan kesan luka yang dialami sebelum laporan dibuat. Selain itu terdapat juga beberapa kesan kecederaan lama dan baharu di badan mangsa," katanya. 

Manoharan berkata bapa kanak-kanak itu kini menjalani hukuman penjara kerana masalah dadah. Kanak-kanak itu kini dirawat di HSNZ dan  dijaga ibunya.

No comments:

Post a Comment