Monday, June 17, 2013

Tiga Penuntut Baru UiTM Kemalangan Di Lebuh Raya Persekutuan


Tiga sahabat maut manakala seorang cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Km 14.5 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, semalam.

Insiden 5.30 pagi itu menyebabkan pemandu Perodua Viva, Adam Abdul Rahman yang berasal dari Muar, Johor dan dua rakannya, Ameer Asyraf Sulaiman (Jasin, Melaka) dan Nurul Maizura Maidan Dali (Labuan, Sabah) meninggal dunia di tempat kejadian.

Adam merupakan pemandu kereta manakala dua lagi berada di tempat duduk belakang. Seorang lagi mangsa, Nurfarina Mokhtar yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera ringan.

Kesemua mereka yang berusia 18 tahun baru dua minggu belajar di universiti. Adam merupakan pelajar Diploma Pengajian Sukan di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang; Ameer (pelajar asasi jurusan perakaunan di UiTM Shah Alam), Nurul Maizura (pelajar asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia) dan Nurfarina (pelajar asasi Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, UiTM Shah Alam).

Ketua Trafik Daerah Shah Alam, DSP Ruslan Abdullah berkata Nurfarina Mokhtar berasal dari Kelantan, yang merupakan penumpang di bahagian hadapan hanya cedera ringan.

"Mayat Adam, Ameer dan Nurul Maizura dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat manakala Nurfarina menerima rawatan lanjut di hospital yang sama.

Ruslan berkata ketika kejadian, keempat-empat sahabat itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari taman tema i-City, di sini ke Kuala Lumpur.

"Berikutan kejadian itu, kesemua mangsa tersepit dalam kereta dan kita (polis) terpaksa meminta bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk mengeluarkan mangsa.

 "Polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan...sama ada ia disebabkan kecuaian pemandu atau berpunca dari (kerosakan) kenderaan tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment