Tiga individu yang akan mewakili Malaysia pada pertandingan kemahiran dunia (WSC) di Leipzig, Jerman bulan depan mahu memenangi pingat emas pada pertandingan antarabangsa yang berprestij.
Mereka ialah Nik Mohd Fakhrul Razi Nik Ahmad Kamil, 22, Chen Kim Leun juga 22 tahun dan Ruqaiyah Azahari, 19, tiga daripada 14 rakyat Malaysia yang terpilih mewakili negara pada WSC.
Nik Mohd Fakhrul Razi berkata pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam bidang pemasangan eletrik di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kuala Terengganu meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk memenangi pingat emas pada pertandingan itu, yang dijadual pada 2 hingga 7 Julai.
"Pemenang pertandingan ini boleh menyumbang secara langsung kepada inisiatif yang dibuat Malaysia bagi membangunkan pekerja mengikut piawaian antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke WSC oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Muttalib di Kuala Lumpur.
Pemenang pingat emas bagi pertandingan kemahiran Asia 2012 (ASC) itu berkata abang sulungnya, Nik Mohd Saufi, yang juga jurulatih di ILP Kuala Terengganu memberikan sokongan moral kepada beliau menjadi peserta di WSC.
WSC adalah satu pertandingan antarabangsa yang menyaksikan para belia dari negara-negara anggota Pertubuhan Latihan Vokasional Antarabangsa (IVTO) bertanding dalam bidang masing-masing.
Chen, yang memegang ijazah sarjana muda dalam Seni Kulinari dari Taylor's College di Subang Jaya berkata WSC adalah satu platform bagi beliau untuk mencapai satu penanda aras bagi kemahiran memasaknya.
"WSC memberi saya peluang belajar budaya memasak di Jerman. Saya mahu mengetengahkan hidangan khusus saya, 'salmon dalam brioche' di WSC," kata Chen, yang berhasrat membuka restoran.
Ruqaiyah, yang berkelulusan dalam teknologi fesyen dari GiatMara Kuala Pilah berkata beliau mula belajar menjahit semasa berusia 10 tahun dan ibu bapanya memberi galakan untuk menyertai WSC.
Ruqaiyah, yang memenangi pingat gangsa pada ASC 2012, mensasarkan untuk memenangi pingat emas pada WSC kali ini memandangkan wakil dari Malaysia sebelum ini tidak pernah memenangi sebarang pingat emas sejak 1993 apabila menyertai pertandingan itu.
Sementara itu, Ismail berkata penyertaan Malaysia pada WSC yang diadakan dua tahun sekali itu adalah bagi mencabar golongan belianya mencapai standard dunia dan untuk mempunyai penanda aras bagi tahap kemahiran mereka.
Mereka akan mengambil bahagian dalam bidang-bidang antaranya khidmat restoran, dandanan rambut, kimpalan, teknologi automobil, pemasangan jubin dinding dan lantai.
No comments:
Post a Comment