Wednesday, July 3, 2013

64 Premis Menjual Makanan Diarah Tutup Kerana Kotor


Orang ramai dinasihatkanmengambil berat tahap kebersihan pengendali dan premis restoran serta kedai makan dikunjungi sebelum menjamu selera.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, sikap sedemikian penting bagi memastikan pelanggan dapat menikmati makanan bersih dan terhindar daripada jangkitan kuman berpunca daripada persekitaran kotor.

Menurutnya, ramai pelanggan terpesona dengan pelbagai menu makanan tetapi tidak menyedari terdapat makanan telah dijangkiti kuman akibat kewujudan serangga perosak seperti tikus dan lipas di dapur premis berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan memeriksa sendiri kebersihan sesebuah premis makanan termasuk seperti pengendali makanan memakai apron, menutup kepala, tidak merokok dan mengutamakan kebersihan diri sebelum mengambil keputusan menjamu selera bersama keluarga,” katanya

 Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas turut serta dalam Operasi Pemeriksaan dan Penutupan Premis Makanan di daerah Besut, semalam.

Anwa berkata lagi, bermula awal tahun ini sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 2,769 daripada 4,685 premis makanan berdaftar di seluruh negeri telah diperiksa Jabatan Kesihatan dengan tumpuan pemeriksaan terhadap kebersihan dapur dan 64 premis atau 2.3 peratus daripadanya diarahkan tutup.

Kata beliau, daripada jumlah berkenaan, lapan premis membabitkan kes keracunan makanan manakala selebihnya tidak mencapai mutu kebersihan premis seperti ditetapkan.

“Ia melibatkan 20 premis dari daerah Kuala Terengganu, Setiu (14), Dungun (11), Besut (10), Hulu Terengganu (lima), Marang (tiga) dan satu di Kemaman,” kata beliau.

Bagaimanapun katanya, kesedaran terhadap menjaga kebersihan premis dan makanan di kalangan peniaga di negeri ini bertambah baik, namun usaha akan diteruskan bagi menambah baik keadaan dari semasa ke semasa.

 Berhubung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang akan diadakan tidak lama lagi, Anwa berkata, pihaknya akan melipatgandakan usaha pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan premis makanan tempatan menghidangkan makanan bersih kepada orang ramai sepanjang tempoh tersebut.

No comments:

Post a Comment