Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dipilih sebagai Pengerusi Kaukus Wanita Parlimen Malaysia bagi penggal ke-13.
Beliau dipilih pada satu mesyuarat tertutup kaukus itu di bangunan Parlimen, di sini hari ini, menggantikan Anggota Parlimen Batang Sadong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
Azalina berkata beliau akan memastikan isu-isu berkaitan wanita terus diperjuangkan di Dewan Rakyat.
"Matlamat saya adalah lebih kepada mewujudkan persefahaman di antara semua wakil rakyat maka oleh itu kita dapat membincang serta mencari penyelesaian kepada pelbagai isu-isu berkaitan wanita," katanya.
Azalina berkata persefahaman antara semua wakil rakyat tidak kira Barisan Nasional (BN) ataupun pembangkang amat penting agar isu-isu yang menyentuh tentang wanita dapat dibahas serta ditangani sebaik mungkin.
Azalina berkata kerjasama semua anggota parlimen amat penting dalam usaha menyelesaikan pelbagai masalah melibatkan kaum wanita di negara ini termasuk dasar 30 peratus penyertaan wanita di peringkat pengurusan tertinggi sektor awam dan swasta.
Mesyuarat semalam turut melantik Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sebagai Timbalan Pengerusi menggantikan Anggota Parlimen Bukit Mertajam Chong Eng.
Kaukus itu diwujudkan pada 2008 dan dianggotai semua anggota parlimen wanita bagi memperjuangkan pelbagai isu berkaitan wanita selain memperkasakan lagi wanita di negara ini yang merupakan tunjang utama dalam pembangunan negara.
Pada penggal ke-13 kali ini, kaukus itu dianggotai 23 anggota parlimen wanita.
No comments:
Post a Comment