Wednesday, July 10, 2013
Bonus: CUEPACS Mohon Dua Setengah Bulan
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada semalam dan berharap permintaan ini akan dipertimbangkan.
"Melihat pada keadaan ekonomi semasa sekarang, pada kami permohonan pemberian bonus dua setengah bulan ini yang telah diputuskan semasa mesyuarat CUEPACS pada dua minggu lepas adalah sesuai,” kata beliau dalam sidang media di Putrajaya semalam.
Omar berkata, pemberian bonus bukan sahaja khabar gembira buat 1.4 juta penjawat awam bahkan akan turut memberi kesan langsung kepada ekonomi negara apabila terdapat aliran tunai yang aktif di dalam negara.
"Namun begitu, saya berharap jika adanya pengumuman bonus kelak peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sesuka hati,” katanya.
Selain itu CUEPACS sudah menyerahkan kertas cadangan kepada pihak kerajaan berkaitan penambahbaikan skim gred penguatkuasaan badan beruniform.
Omar berkata, kertas cadangan itu diserah kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa di pejabatnya semalam.
"Cadangan penambahbaikan ini melibatkan sebanyak tujuh badan penguatkuasaan undang-undang yang terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Kastam, Bomba, Imigresen, Penjara, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan, yang keseluruhannya melibatkan seramai 120,000 orang,” katanya.
Beliau berkata, ia selaras dengan beban dan risiko yang dihadapi anggota badan beruniform ketika ini ini, dan sudah tiba masanya skim jawatan mereka dikaji semula serta dinaik taraf.
"Kita cadang seperti mereka berada di gred 17 sekarang dinaikkan ke gred 27 sampailah ke peringkat yang tertinggi, seperti jawatan ketua pengarahpun kita mahu ke gred yang lebih baik,” katanya.
Osman berharap kerajaan dapat mempertimbang kertas cadangan itu sewajarnya dan meminta ia diselesai sebelum 31 Disember ini.
No comments:
Post a Comment