Sunday, July 7, 2013

Cuepacs - Bina Rumah RM250,00 Ke Bawah Untuk penjawat Awam


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan persekutuan dan negeri menyediakan rumah kos sederhana berharga RM250,000 ke bawah untuk penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini kerana kira-kira 45 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana faktor harga.

"Kumpulan 45 peratus ini masih menyewa rumah dengan kadar RM800 ke RM1,500 sebulan walaupun ada yang sudah lima tahun berkhidmat.

Sampai bila mereka nak menjalani kehidupan seperti ini (tidak memiliki rumah sendiri). "Kita mahu ini (penyediaan rumah kos sederhana) dilaksanakan segera bagi membolehkan penjawat awam tinggal di rumah sendiri dengan selesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dan mesyuarat agung tahunan Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) di Putrajaya, semalam.

Omar berkata langkah penyediaan rumah kos sederhana yang mampu dimiliki penjawat awam berpendapatan RM7,000 ke bawah secara tidak langsung boleh meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka.

Mengambil contoh Putrajaya, beliau berkata majoriti penjawat awam di pusat pentadbiran negara itu tidak memiliki rumah sendiri, sebaliknya hanya menetap di kuarters kerajaan.

Omar turut mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara dipertanggungjawab menyediakan rumah kos sederhana berbanding pihak pemaju.

Beliau berkata pihaknya bersedia memberi pandangan dan kerjasama kepada kerajaan persekutuan dan negeri bagi menyelesaikan isu itu.

No comments:

Post a Comment