Wednesday, July 17, 2013

Hampir RM750 Juta Nilai MoU Untuk ECER


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyaksikan majlis bertukar-tukar Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan 10 pelabur di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), membabitkan pelaburan berjumlah hampir RM750 juta.

Pelabur terbabit terdiri daripada Felda dan MMC Hassed Co Ltd (RM120 juta dalam bidang pertanian), Tropical Consolidated Corporation Sdn Bhd (RM50 juta dalam pembuatan), Educrest Sdn Bhd (RM108 juta dalam pendidikan), Pahang Technology Resources Sdn Bhd (RM250 juta - perkilangan produk Halal), FPM Sdn Bhd (RM111 juta dalam sektor pembuatan).

Selain itu, lima pelabur yang merupakan penerima Tabung Kemudahan Teraju ECER turut membuat komitmen melabur.

Syarikat itu membabitkan Komitment Mantap Sdn Bhd (RM50 juta - pembuatan, RD Paper Sdn Bhd (RM26 juta - perkilangan), Ganu DotCom Sdn Bhd (RM17 juta pelancongan), Heritage Farm (M) Sdn Bhd (RM7 juta - pertanian dan Tok Bali Dockyard and Engineering Sdn Bhd (RM5 juta - pembuatan).

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yakob, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Isaace John.

Projek usaha sama RM120 juta antara Felda Investment Corporation (FIC) dan MMC Hassed Co. Ltd Korea Selatan bakal menyaksikan pembangunan ladang penternakan ikan sturgeon di Pahang yang akan mewujudkan impak ekonomi yang besar untuk 1,300 peneroka Felda dan keluarga.

Projek itu dijangka menjana pendapatan bulanan kira-kira RM10,000 untuk peneroka dengan tempoh bayaran balik selama tujuh tahun.

Jerantut dan Jengka dikenal pasti antara lokasi berpotensi untuk projek itu dengan kapasiti pengeluaran penuh sehingga 30 tan metrik kaviar setahun bernilai hampir RM100 juta.

Kompleks ladang penternakan ikan seluas lapan hektar itu juga menempatkan ruang pameran, akuarium dan pusat penyelidikan dan pembangunan yang dijangka menjadi tarikan pelancong di ECER.

Pembangunan ladang itu akan bermula pada 2014 dan dijadual siap dalam tempoh antara 18 dan 24 bulan.

Sementara itu, Tropical Consolidated Corporation melabur RM50 juta untuk membuka kilang makanan dalam tin dan sejuk beku di Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali di Kelantan, yang dimajukan oleh ECERDC.

Taman itu dijangka muncul sebagai hab perikanan untuk Asia Tenggara. Educrest Sdn Bhd pula merancang melabur RM108 juta untuk membina sekolah antarabangsa di Kuantan, Pahang bagi menggantikan bangunan sedia ada, dan projek itu akan menawarkan pendidikan antarabangsa berkualiti di negeri itu, yang akan meningkatkan lagi daya tarikan ECER dalam kalangan pelabur dan ekspatariat antarabangsa bekerja di Kuantan.

Pahang Technology Resources Sdn Bhd pula melabur RM250 juta bagi menghasilkan vaksin denggi halal di Taman Halal Gambang, satu lagi projek utama yang dimajukan oleh ECERDC di Pahang.

FPM Sdn Bhd, anak syarikat Felda Global Ventures Sdn Bhd, melabur RM111 juta untuk meluaskan kilang pembuatan di Kuantan yang akan menghasilkan baja untuk kegunaan ladang sawit Felda di seluruh negara, dan sebahagian lagi untuk pekebun kecil di ECER.

Sementara itu, Komitment Mantap melabur RM50 juta untuk membangunkan loji solar di Pasir Mas, yang merupakan ladang solar pertama di Kelantan.

Projek ini akan mempromosi penggunaan tenaga mesra alam di kelantan. dan menawarkan peluang pemindahan pengetahuan untuk penduduk tempatan.

No comments:

Post a Comment