Sunday, July 28, 2013

Hujan Di Beberapa Kawasan Di Semenanjung Dijangka Pulih Keadaan Jerebu

Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramal hujan bakal berlaku di beberapa kawasan di hampir keseluruhan negeri di Semenanjung secara berperingkat pada pagi, petang dan malam semalam dan hari ini dijangka membantu memulihkan keadaan berjerebu di Semenanjung.

Jabatan itu juga mengesan sebanyak 20 titik panas di Malaysia, dengan jumlah terbesar di Sarawak (17 titik panas), Sabah (2) dan Kelantan (1), berdasarkan laporan Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) melalui satelit NOAA-18 pada 18 Julai hingga semalam.

"Penyiasatan di lapangan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil bagi setiap titik panas yang dikesan," menurut JAS dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Laporan ASMC semalam turut menunjukkan 87 bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia berbanding 89 titik panas pada Rabu lepas.

Menurut JAS, sejak Januari sehingga hari ini, sebanyak 2,064 kes pembakaran terbuka dikesan iaitu pembakaran kawasan pertanian sebanyak 974 kes, kawasan hutan (451 kes), kawasan industri (68 kes), kawasan pembinaan (49 kes), tapak pelupusan sampah (19 kes), kawasan belukar (365 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (138 kes).

"Bagi tempoh yang sama, sebanyak 404 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun, 47 kes telah dikeluarkan Notis Arahan dan sebanyak 14 kes akan dikenakan tindakan mahkamah," katanya. 

Menurut JAS, perintah larangan pembakaran terbuka yang dikeluarkannya sejak 19 Jun lepas secara berperingkat meliputi Selangor, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak masih berkuat kuasa sehingga ini.

Beberapa aktiviti seperti pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan dan gril ataupun barbeku yang tidak dilakukan di kawasan gambut dikecualikan dari larangan pembakaran terbuka, menurut JAS. Jabatan itu juga turut mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan industri.

No comments:

Post a Comment