Wednesday, July 31, 2013

Jakim Bantah Cadangan Pembangunan Bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jawatankuasa Pentadbiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membantah cadangan pembangunan di dua lot tanah di Jalan Changkat Kiara Hartamas di Kuala Lumpur, yang terletak bersebelahan masjid itu.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, ini kerana cadangan projek itu tidak sesuai memandangkan kedudukannya yang terlalu hampir dengan tempat ibadat bertaraf masjid negeri itu.

Katanya, projek itu didapati melibatkan pembinaan beberapa menara berketinggian 49, 47, 37 dan lapan tingkat yang pasti menghalang pandangan masjid dari arah barat, barat laut dan barat daya, sekali gus menghilangkan daripada pandangan menara masjid yang menjadi identiti dan mercu tanda keIslaman setempat.

"Cadangan pembangunan ini dirasakan tidak sesuai kerana dipercayai akan mengundang konflik sosial dan berkemungkinan mendapat bantahan penghuni mengenai seruan azan lima, khutbah dan syarahan keagamaan Islam yang mungkin bertukar menjadi isu sensitif melibatkan agama,” kata Othman dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pembangunan komersil seperti itu juga akan menyebabkan pertumbuhan premis seperti restoran, pusat hiburan, kelab malam, karaoke dan aktiviti berunsurkan maksiat.

No comments:

Post a Comment