Thursday, July 18, 2013

Kempen 16:16 Pas Tidak Memberi Apa-apa Makna, Tidak Akan Diterima Rakyat


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said semalam menyifatkan kempen "16:16 Terengganu Baru" tidak memberi apa-apa makna kerana Barisan Nasional (BN) ketika ini masih lagi mempunyai 17 undi termasuk undi Speaker berbanding 15 undi pembangkang.

Katanya mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu seorang Speaker yang dilantik mempunyai satu undi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Mengulas perkara yang sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha PAS mewujudkan pentadbiran kerajaan Terengganu yang tergantung menerusi kempen 16:16 tidak akan diterima rakyat, terutamanya pengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Menyifatkannya sebagai tindakan populis bagi meraih perhatian, Naib Presiden Umno itu berkata kempen sebegitu jelas tidak rasional kerana setiap individu dan rakyat di sesuatu kawasan atau negeri tentunya tidak mahu melihat keadaan kucar kacir dalam pentadbiran kerajaan. "Itu tindakan populis tetapi bagi mereka yang rasional kempen sebegitu adalah tidak masuk akal.

"Jika inginkan keadaan 16:16, bermakna mereka sengaja inginkan kerajaan tergantung dan visi sebegitu sebenarnya dibawa oleh mereka yang tidak memikirkan masa depan rakyat Terengganu sebagai keutamaan," katanya pada sidang media selepas menyerahkan kunci rumah kepada veteran angkatan tentera di Kampung Beris Pak Abu, Gong Kedak semalam.

Turut hadir Panglima Tentera Udara Tan Sri Rodzali Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia Datuk Zulkiflee Mazlan.

Beliau mengulas kempen 16:16 yang giat diusahakan PAS di Kuala Besut, yang merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Terengganu andai pilihan raya kecil DUN Kuala Besut memihak kepada PAS.

Selepas pilihan raya umum Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir Barisan Nasional (BN) yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada PAS dan satu wakil PKR.

Hishammuddin berkata selain cubaan menjadikan kerajaan tergantung, tujuan sebenar kempen itu adalah bagi membolehkan pembangkang melakukan fitnah berterusan ke atas apa sahaja bantuan dan perancangan yang dilakukan BN kepada rakyat.

"Tidak ada pihak yang mahukan sesuatu keadaan yang tidak menentu dan saya yakin masyarakat di Kuala Besut tidak akan terikut-ikut dengan kempen sebegitu kerana ia jelas tidak masuk akal," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan Endot@Azlan Yusof dari PAS.

Terdahulu beliau menyerahkan kunci rumah kepada veteran ATM, Muhamad Mat Diah, 52, bekas anggota komando dari Rejimen Gerak Khas yang berkhidmat di kem Sungai Udang, Melaka selama 17 tahun sejak tahun 1981.

Rumah tiga bilik yang dibina di bawah Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia itu dibina hanya dalam masa 39 hari dengan kos keseluruhan sebanyak RM40,000.

No comments:

Post a Comment