Tuesday, July 23, 2013

Kerajaan Belanja RM39 Juta Untuk Kemudahan Kesihatan Di Besut


Kerajaan telah memperuntukkan RM39 juta bagi membangunkan dua klinik kesihatan untuk kemudahan penduduk di Besut, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM20 juta diperuntukkan untuk membina Klinik Kesihatan lengkap dengan kemudahan kuarters di Kampung Raja, yang masih dalam proses perancangan.

Sebuah lagi ialah Klinik Kesihatan Jerteh,  bernilai RM19 juta yang turut dilengkapi kemudahan kuarters. Proses penyerahan klinik itu dibuat pada 1 April lalu, sebelum memulakan operasinya untuk kali pertama pada 11 April lalu.

"Kita juga bersetuju untuk meluluskan peruntukan RM200,000 untuk membaik pulih Klinik Desa di Pulau Perhentian yang terletak dalam kawasan Kuala Besut," kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Kuala Besut semalam.

Beliau berkata peruntukan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah penduduk sekitar 2,000 orang dan juga kehadiran pelancong yang besar memerlukan perkhidmatan kesihatan yang baik.

Dr Subramaniam berkata semua peruntukan itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat, selain memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan itu.

Beliau berkata pihaknya akan memberi latihan kepada pegawai Kemas untuk menjadi rakan penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan mereka bertugas.

"Mereka akan diberi latihan untuk melakukan pemeriksaan seperti tekanan darah atau kencing manis yang mana jika didapati serius, pesakit boleh dirujuk kepada klinik untuk rawatan lanjut," katanya.

Dr Subramaniam juga merasmikan Klinik 1Malaysia (K1M) Kuala Besut yang mula beroperasi pada 24 Mac lalu yang memberi manfaat kepada hampir 26,500 penduduk di sini, terutamanya daripada golongan nelayan dan petani.

Klinik itu yang terletak di kawasan kedai berhampiran Pasar Tani Kuala Besut merupakan klinik kedua seumpamanya selepas pembukaan K1M Kampung Nyior Tujuh, Jerteh.

Kewujudan K1M Kuala Besut menjadikan jumlah klinik itu kepada 11 buah iaitu tiga di Kuala Terengganu, masing-masing dua di Kemaman, Dungun, Besut dan sebuah di Marang dan Hulu Terengganu.

No comments:

Post a Comment