Monday, July 22, 2013

Kerajaan Terengganu Timbang Terus Bantu Farid

Kerajaan Negeri Terengganu menimbang untuk memberikan bantuan berterusan kepada anggota trafik, Inspektor Farid Hasni Mamat, 33, yang terlibat dalam kemalangan ketika bertugas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Mohd. Mahadi Musa berkata, perkara tersebut telah pun dipanjangkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk tindakan selanjutnya.

"Insya-Allah kita akan membantu keluarga anggota berkenaan dengan memberikan bantuan secara berterusan memandangkan anak-anaknya masih kecil.

"Lagipun beliau merupakan anak kelahiran Kuala Ibai, Terengganu. Memang menjadi dasar kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyatnya selaras dengan slogan Janji Ditepati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa melawat anggota polis tersebut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kubang  Kerian, baru-baru ini.

Dalam sesi lawatan tersebut, Mohd. Mahdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada isteri anggota polis berkenaan, Norazwani Same.

Farid Hasni yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka dipinjam untuk bertugas di PRK Kuala Besut bersama dengan seorang rakan setugas sedang meronda di pusat-pusat mengundi sebelum dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kejadian di Kampung Alor Peroi, Besut kira-kira pukul 4.40 petang Rabu lalu.

No comments:

Post a Comment