Monday, July 22, 2013

Kumpulan Syarikat Ketengah Holdings Catat Untung Pracukai RM76 Juta

Kumpulan syarikat Ketengah Holdings Sdn Bhd mencatatkan keputusan memberangsangkan tahun lepas dengan keuntungan pracukai berjumlah RM76.9 juta.

Pengurus Besar Ketengah Wan Mat Amin Wan Endut berkata bagaimanapun selepas ditolak cukai, kumpulan itu dijangka mencapai keuntungan bersih sebanyak RM59.9 juta.

"Zakat yang akan dikeluarkan dijangka sebanyak RM1.1 juta daripada jumlah keuntungan itu tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa semalam.

Beliau berkata keuntungan tersebut melibatkan kumpulan perladangan dan perkilangan. Kumpulan syarikat Ketengah Holdings Sdn Bhd termasuk Ketengah Holding, Ketengah Perwira, Yit-Ketengah Perwira, Ketengah Jaya, Kebunika, Ladang Ternak Tani dan Rakyat Ketengah Perwira.

Wan Mat Amin berkata Ketengah Jaya mencatat keuntungan paling tinggi iaitu RM16 juta diikuti Ketengah Perwira RM13 juta dan Ketengah Holding RM7 juta.

Kumpulan syarikat Ketengah Holdings Sdn Bhd akan mempelbagaikan aktiviti pelaburan dan tidak hanya bergantung kepada perladangan dan perkilangan semata-mata bagi memperkukuhkan sumber kewangannya, katanya lagi.

Menurut Wan Mat Amin antara bidang baru yang akan diceburi ialah bidang pelancongan khususnya pelancongan di Tasik Kenyir dan hartanah.

Beliau juga berkata kumpulan syarikat Holdings Sdn Bhd akan turut menyumbang kepada keperluan sosial masyarakat di wilayah Ketengah seperti Tabung Amanah Masyarakat Ketengah.

Tabung ini bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

No comments:

Post a Comment