Sunday, July 28, 2013

Limpahan Rezeki Untuk Rakyat Kuala Besut

Penduduk Tok Has adakan majlis jamuan kelmarin.
Adun Jertih, Muhammad Pehimi Yusof berkata, projek mendalamkan muara Kuala Besut memberi manfaat kepada penduduk di Dun Kota Putera, Jertih, Hulu Besut dan Jabi.

Menurutnya, projek pemecah ombak itu bukan sahaja merancakkan perkembangan ekonomi Kuala Besut, malah turut membuka banyak peluang pekerjaan.

“Apabila kerja memajukan kawasan pemecah ombak sebagai Gerbang Pelancongan Antarabangsa seperti dirancang Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan kerajaan negeri berjalan, sudah tentu pelbagai aktiviti ekonomi dan permintaan makanan akan meningkat,” katanya.

Muhammad Pehimi yang juga Naib Umno Bahagian Besut berkata, keseluruhan peruntukan pembangunan di Dun Kuala Besut oleh kerajaan pusat dan negeri bernilai hampir RM400 juta dengan peruntukan pemecah ombak muara Sungai Besut bernilai RM250 juta.

“Peruntukan terbesar kedua ialah menaik taraf Empangan Lowvier untuk petani di Pangkalan Nangka bernilai RM35 juta, diikuti pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Peroi dan 200 unit program perumahan rakyat, masing-masing bernilai RM28 juta,” katanya.

No comments:

Post a Comment