Datuk Seri Najib Razak mengingatkan ahli UMNO di Sabah supaya memperkukuhkan parti bagi mengulangi kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menjadi penyumbang terpenting dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
Peringatan itu diberikan Presiden UMNO pada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah yang dipengerusikannya dalam lawatan pertamanya ke negeri ini selepas pilihan raya umum.
Ditemui selepas mesyuarat itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Perdana Menteri menyatakan penghargaannya kepada UMNO serta BN Sabah yang berjaya mencapai keputusan cemerlang pada PRU-13.
Susulan kejayaan cemerlang itu, katanya, Perdana Menteri memberikan kepercayaan kepada wakil dari Sabah dan Sarawak menganggotai hampir separuh barisan Jemaah Menteri.
“Dalam mesyuarat tadi juga Presiden beri nasihat supaya kita perkukuhkan parti dan mahu kita bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) daripada sekarang lagi.
“Selain itu, Presiden turut memberi penerangan berhubung proses pemilihan parti yang akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu di kota Kinabalu, semalam.
Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said.
Kelebihan calon Sabah
Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata sistem baru pemilihan UMNO yang akan digunakan Oktober ini tidak akan memberi kelebihan kepada calon dari Sabah walaupun negeri itu mempunyai banyak bahagian.
“Sistem digunakan masih berpaksikan kepada demokrasi bukannya berdasarkan mana bahagian yang mempunyai ahli terbanyak, ia bukan begitu,” katanya.
Pemilihan UMNO kali ini akan menyaksikan kira-kira 150,000 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara membuat pemilihan selaras pindaan perlembagaan parti pada 2009.
Pemilihan Majlis Tertinggi (MT) akan diadakan secara serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober ini.
No comments:
Post a Comment