Friday, July 12, 2013

Pasar Borong Bukit Payong Perlu RM50 juta


Pasar borong baru yang masih dalam pembinaan di Bukit Payong, Marang memerlukan penambahbaikan melibatkan peruntukan RM50 juta daripada kerajaan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata, pasar borong itu dibina bagi menggantikan Pasar Borong Gong Pauh.

“Pasar itu (Pasar Borong Gong Pauh) sebenarnya sudah tidak dapat menampung peniaga dan terlalu padat, malah memerlukan pasar baru.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu dalam usaha menyiapkan tapak pasar borong baru dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri, Shamsuddin Mat Rani dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Terengganu, Mohamed Yusoff. Nawi berkata, peruntukan berkenaan adalah untuk mendirikan bangunan di tapak pasar (Bukit Payong) supaya lebih teratur dan memberi keselesaan kepada peniaga dan orang ramai berbanding keadaan di Pasar Borong Gong Pauh sekarang.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM10 juta bagi menyediakan tapak berkenaan di Bukit Payong.

Sekiranya bangunan di Bukit Payong siap, Pasar Borong Gong Pauh akan ditutup dan dipindahkan ke tapak baru.

No comments:

Post a Comment