Wednesday, July 31, 2013

Pelaburan Bioteknologi Di Terengganu Antara Tumpuan Perbincangan Najib, PM Perancis


Perbincangan mengenai pelaburan bioteknologi di Terengganu antara Arkema dari Perancis dan CJ CheilJedang (CJ) dari Korea Selatan menjadi antara tumpuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razakdengan rakan sejawatnya dari Perancis Jean-Marc Ayraul kelmarin.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia dan Perancis bakal menjalin kerjasama dalam bidang baharu, terutamanya tenaga diperbaharui, pengangkutan dan bioteknologi.

Najib menjelaskan, kerjasama itu dibincangkan dengan Ayrault dalam pertemuan mereka di Putrajaya kelmarin.

Beliau berkata selain itu, Malaysia dan Perancis juga berhasrat memperkukuhkan hubungan ekonomi sedia ada, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan pendidikan.

"Terdapat dua pelaburan signifikan. Pertamanya, pada tengah kelmarin, Perdana Menteri (Perancis) akan melawat ke Sendayan, yang bakal menjadi pangkalan pembuatan brek pesawat untuk pasaran seluruh Asia bernilai US$125 juta," katanya pada sidang akhbar bersama kelmarin.

Beliau berkata satu lagi ialah pelaburan bioteknologi di Terengganu antara Arkema dari Perancis dan CJ CheilJedang (CJ) dari Korea Selatan.

Najib berkata perbincangan turut menyentuh mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan, dengan menteri pertahanan dari kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan pada Disember, untuk membincangkannya secara menyeluruh.

"Perdana Menteri (Perancis) juga memberi jaminan kepada saya bahawa persefahaman dan kerjasama ini akan berterusan, secara asasnya dalam pertahanan dan kami menjangkakan pemerolehan beberapa pesawat dan helikopter," katanya.

Najib juga berkata banyak syarikat tradisional beroperasi di Malaysia, dan mereka mengharapkan lebih banyak pelaburan dari Perancis dalam masa terdekat.

"Perbincangan ini amat produktif, kami membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa, peranan kami dalam beberapa perkembangan di bahagian lain di dunia, yakni situasi ekonomi dan saya percaya lawatan Yang Amat Berhormat akan menambah lembaran baharu terhadap hubungan dua hala yang akrab," katanya.
Sementara itu, Ayrault berkata Malaysia adalah rakan kongsi ekonomi kedua terbesar dalam Asean bagi Perancis, iaitu terdapat kira-kira 260 syarikat Perancis di Malaysia, dan mereka bersedia memberikan sokongan terhadap semua projek untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020. 

"Lawatan saya juga untuk meninjau peluang-peluang baharu untuk usahawan kecil dan sederhana Perancis untuk datang dan menerokai peluang di Malaysia, terutamanya dalam bidang infrastruktur, maklumat dan komunikasi dan bandaraya lestari," katanya.

Terdahulu, Najib dan Ayrault menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Perancis, yang pertama antara Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Thales bagi kerjasama dalam industri rel.

Keduanya antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Eurosae SAS bagi kerjasama dalam bidang kejuruteraan, penerbangan dan aeroangkasa, maritim dan pengangkutan yang berhubung kait dengan pertahanan dan keselamatan.

Turut ditandatangani MoU bagi kerjasama strategik antara Mara dan Eurosae Advanced Training dalam bidang penerbangan dan teknologi aeroangkasa.

No comments:

Post a Comment