Wednesday, July 10, 2013

Penduduk Kuala Besut Patut Pilih BN Atas Empat Faktor - Ahmad Maslan


Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menggariskan empat faktor kenapa pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut perlu memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan itu 24 Julai ini.

Beliau turut mengingatkan pengundi untuk tidak menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai satu mainan atau percubaan untuk mengubah selera kerana jika tersilap pilih, mereka akan kecewa sepanjang hidup.

"Faktor utama rakyat perlu memilih BN di Kuala Besut ialah bagi menentukan kestabilan pemerintahan di Terengganu yang diterajui BN," katanya kepada pemberita selepas berucap kepada pemimpin Rela di Pusat Khidmat Komuniti Rela DUN Kuala Besut di Kampung Baharu di Kuala Besut semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata faktor kedua ialah dengan mengekalkan BN di Kuala Besut akan membuktikan sokongan dan menghormati keyakinan kepimpinan negara melantik anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Pendidikan Kedua baru-baru ini.

Selain itu, katanya, rakyat Kuala Besut masih memerlukan pembangunan yang hanya boleh diberikan oleh kerajaan melalui BN.

 Katanya, pelbagai rancangan pembangunan telah diatur oleh bekas wakil rakyat DUN Kuala Besut Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar yang bakal memberi faedah dan manfaat besar dan hanya boleh dijayakan sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada BN.

Faktor keempat, katanya penduduk Kuala Besut perlu menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah banyak berjasa kepada rakyat menerusi pelbagai program transformasi.

Ahmad juga berkata kementeriannya akan terus membantu kaum Bumiputera dalam bidang perniagaan agar bertepatan dengan wawasan 'Malaysia Negara Maju, Rakyat Berpendapatan Tinggi' yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

"Usaha itu akan termasuk menempatkan peniaga Bumiputera di lokasi-lokasi strategik di bandar-bandar utama termasuk di Lembah Klang untuk berniaga," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh mengundi untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi dan 12 Julai sebagai tarikh penamaan calon. 

Kekosongan DUN Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. BN mengumumkan anak jati Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera awam, sebagai calonnya pada pilihan raya kecil itu.

No comments:

Post a Comment