Monday, July 29, 2013

Polis Hargai Media Bantu Lancarkan Proses PRK Kuala Besut


Polis Terengganu menghargai peranan pengamal media yang banyak membantu polis melaporkan berita sepanjang proses pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, pada 24 Julai lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata sepanjang proses PRK berlangsung para pengamal media sama ada media cetak mahupun elektronik sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan perkembangan pilihan raya berkenaan.

Katanya, menerusi artikel dan laporan yang dikeluarkan setiap agensi berita ia sekali gus telah menaikkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menambah keyakinan masyarakat untuk keluar mengundi.

"Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat memastikan pilihan raya itu berjalan lancar dan juga kepada pihak media yang tidak putus-putus melaporkan perkembangan semasa sepanjang PRK itu," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Jamshah, PRK yang berakhir pada hari Rabu itu berlangsung dengan aman tanpa sebarang insiden yang boleh mencacat atau mengagalkan proses pilihan raya.

Beliau berkata keadaan dilihat tenang dan terkawal bermula proses penamaan calon, kempen, pengundian awal, hari pengundian sehingga proses penjumlahan undi.

Beliau memuji sikap, khususnya penduduk setempat, penyokong parti politik yang bertanding dan para pengundi yang banyak membantu polis mengekalkan keamanan, ketenteraman dan keselamatan sepanjang proses PRK berlangsung.

No comments:

Post a Comment