Thursday, July 18, 2013

Polis Terengganu Tubuh Pasukan Pemantau Banteras Penjualan Mercun

Polis Terengganu telah menubuhkan pasukan khas untuk memantau dan melakukan risikan kegiatan pengedaran dan penjualan mercun di pasar, bazar dan rumah kediaman sepanjang Ramadan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata pasukan itu ditubuhkan di setiap daerah sejak awal Ramadan ini.

Setakat ini, polis menahan tujuh penjual mercun berusia antara 20 dan 40 tahun dalam pemeriksaan di bazar dan pasar Ramadan iaitu dua di sini, empat di Dungun dan satu di Kemaman, katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata kesalahan menjual barang larangan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu beliau turut menasihati orang ramai khususnya ibu bapa agar melarang anak daripada bermain mercun bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku.

Jumaat lepas dalam kejadian di Kampung Batu Buruk di sini, dua remaja lelaki berusia 14 dan 13 tahun cedera parah manakala seorang budak lelaki berusia 12 tahun cedera ringan apabila sejumlah mercun bola milik seorang daripada tiga sahabat itu meletup secara tiba-tiba.

No comments:

Post a Comment