Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut membawa rezeki berganda kepada pengusaha pelancongan di Terengganu khususnya di Besut, selain memeriahkan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Ketua Sekretariat TMT 2013 Ahmad Fathil Abd Ghani berkata semua tempat penginapan di daerah itu habis ditempah dan pemilik rumah persendirian juga menikmati limpahan rezeki apabila banyak yang mahu menyewa sekalipun kadar sewanya melambung tiga kali ganda.
"Limpahan rezeki ini turut dinikmati pengusaha restoran, warung, syarikat yang menyewakan kenderaan serta peniaga barang keperluan harian. Malah, Pulau Perhentian padat dengan pelawat yang rata-rata adalah jentera parti bertanding," katanya semalam.
Katanya tempias rezeki itu dijangka turut dinikmati peniaga di Kuala Terengganu kerana akan ada pelawat yang singgah ke bandar raya berkenaan apabila pilihan raya kecil tersebut berakhir.
"Saya berharap peniaga akan mengekalkan harga terbaik sebagai usaha memastikan pengunjung ini menjadi pelanggan tetap mereka pada masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment