Saturday, July 13, 2013

Projek tali air Pangkalan Nangka diselesai segera

Kerosakan tali air di Skim Projek Tali Air Pangkalan Nangka di Bukit Puteri akan diselesaikan bagi memastikan kawasan pertanian seluas 400 hektar di situ mendapat bekalan air untuk pertanian yang mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Ladang dan Komoditi Negeri Nawi Mohamad berkata masalah tersebut akan dibawa ke mesyuarat antara exco-exco pertanian negeri di Putrajaya Isnin ini.

"Masalah tersebut telah menyebabkan air yang disalurkan ke kawasan-kawasan pertanian tidak lancar kerana terdapat sesetengah kawasan yang menjadi tinggi daripada tali air," katanya semalam.


Katanya beliau akan mencadangkan agar sistem pengairan di kawasan berkenaan dibaiki termasuk mencadangkan supaya projek tali air Pangkalan Nangka itu diletakkan di bawah seliaan Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (KETARA) bagi mendapatkan bantuan.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan (Adun) Hulu Besut berkata kerajaan negeri memang menyedari masalah yang dihadapi para petani di kawasan berkenaan dan sentiasa memantau dan mencari jalan agar ia mendapat pembelaan kerajaan pusat.

Nawi berkata petani terbabit memang perlu dibantu kerana kebanyakan mereka sangat aktif dan berdedikasi mengusahakan tanaman padi dan sayur-sayuran.

Katanya purata pengeluaran padi di kawasan berkenaan bagi setiap petani mencatat sehingga empat metrik tan bagi semusim melalui usaha gigih mereka sendiri dengan mengepam air daripada sungai Besut. 

Menurutnya masalah tersebut telah dikemukakan di dalam Dewan Undangan Negeri oleh Adun Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof dan mendapat perhatian kerajaan negeri.

Malah projek tali air itu turut dibangkitkan pembangkang dalam pilihan raya kecil Kuala Besut kali ini.

No comments:

Post a Comment