Jabatan Agama Islam di setiap negeri diminta melakukan pemantauan di semua restoran yang beroperasi 24 jam bagi memastikan orang Islam yang tidak berpuasa tidak sewenangnya membeli makanan secara terbuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum berkata pemantauan itu perlu dilakukan bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap orang Islam yang sengaja tidak berpuasa.
Beliau berkata pengusaha restoran makanan 24 jam tidak dipaksa menutup operasi mereka bagi membolehkan orang bukan Islam mendapatkan makanan sepanjang Ramadan.
"Pengusaha restoran 24 jam perlu bekerjasama dengan jabatan agama serta Pihak Berkuasa Tempatan. Mereka dilarang untuk menjual makanan kepada orang Islam kecuali pada waktu munasabah," katanya di Yan, Kedah semalam.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Tentera Tidak Berpencen, Darat, Udara dan Laut (Daulat) di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.
No comments:
Post a Comment