Tuesday, July 16, 2013

TADC Jalin Kerjasama Keluarkan Benih Ikan Kerapu Hibrid Di Besut

Terengganu Agroteach Development Corp Sdn Bhd (TADC), anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad negeri Terenggnau, menyasar untuk mengeluarkan antara 200,000 dan 300,000 benih ikan kerapu sebulan untuk pasaran seluruh negara.

Pengurus Besar TADC Khalid Awang berkata projek mengeluarkan benih ikan kerapu secara hibrid di Tanjung Demong, Besut itu dijalankan secara usaha sama dengan Syarikat Lautan Bumimas Sdn Bhd pada awal tahun ini.

"Kita telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Lautan Bumimas awal tahun bagi mengeluarkan benih anak ikan kerapu secara hibrid.

"Jika ia berjalan mengikut jadual, anak ikan kerapu yang berukuran antara tiga dan empat inci dijangka dikeluarkan pada Oktoebr ini dan dijual pada harga RM4 seekor," katanya kelmarin.

Beliau berkata buat permulaan, sebanyak 20 kolam dibina bagi pembenihan anak ikan kerapu melibatkan 300 induk dan sehingga ini, Syarikat Lautan Bumimas membelanjakan kira-kira RM1 juta daripada RM5 juta yang diperuntuk bagi projek usaha sama itu.

Khalid juga berkata selain Syarikat Lautan Bumimas, pihaknya menjalin usaha sama dengan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) yang menyaksikan TADC akan menyerahkan sejuta telur ikan kerapu kepada FRI untuk diagih kepada penternak ikan tempatan.

No comments:

Post a Comment