Thursday, July 11, 2013

TDM Berhad Bayar Dividen RM35,303,886, Tertinggi Sejak 2006

TDM Berhad, syarikat berkepentingan kerajaan Terengganu mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membayar dividen sebanyak RM35,303,886.86 kepada pelbagai agensi kerajaan negeri bagi pendapatan yang diperoleh dalam tahun kewangannya berakhir 31 Dis lepas.


 Pengerusinya, Datuk Roslan Awang Chik berkata pembayaran dividen itu merupakan peningkatan 21.6 peratus daripada jumlah bayaran yang dibayar pada tahun kewangan sebelumnya, iaitu sebanyak RM29,029,148.83.

"Pembayaran dividen kali ini merupakan rekod tertinggi yang pernah dibayar kepada pelbagai agensi kerajaan negeri sejak 2006," katanya pada majlis penyerahan dividen itu di Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis itu, Roslan telah menyampaikan cek dividen berkenaan kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said serta disaksikan Setiausaha Kerajaan Datuk Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad Badrul Hisham Mahari serta Ketua Pegawai Kewangan TDM Berhad Amir Mohd Hafiz Amir Khalid

Roslan berkata, mengikut pecahan, dividen itu dibayar kepada agensi-agensi terlibat di mana Terengganu Incorporated Sdn Bhd merupakan penerima dividen tertinggi berjumlah RM25,745,637.28 manakala Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pula menerima sebanyak RM7,216,000. Katanya penerima dividen lain terdiri daripada Permodalan Terenganu Berhad (RM823,240), Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (RM782,736.90), Yayasan Terengganu (RM440,000), Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (RM191,505.48) dan Kumpulan Pengurusan Kayu-kayan Terengganu Sdn Bhd (RM104,667.20).

Beliau berkata TDM Berhad telah membuat pembayaran dividen tahunan bermula daripada pembayaran pertama pada 2006 manakala sehingga 2012, dividen telah meningkat sebanyak 1,000 peratus daripada 2 sen kepada 22 sen sesaham.

Roslan berkata, di bawah polisi dividen yang diluluskan pada April 2009, TDM Berhad akan mengagihkan sekurang-kurangnya 30 peratus keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebagai dividen kepada para pemegang saham.

 Bagi tahun kewangan 2012 lalu, Lembaga Pengarah TDM Berhad telah meluluskan pembayaran dividen 22 sen sesaham, peningkatan 0.5 sen berbanding tahun sebelumnya. Beliau berkata TDM Berhad juga membayar RM2,337,107 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW) dan RM669,092 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebagai bayaran keuntungan hasil perkongsian usaha sama.

Roslan berkata, kedua-dua agensi ini masing-masing mempunyai tanah ladang kelapa sawit seluas 1,336 dan 792 hektar yang dibangunkan oleh TDM Berhad dan perjanjian usaha sama itu telah terjalin sejak 1996 dan 1997.

Pada majlis itu Badrul Hisham turut menyampaikan bayaran keuntungan hasil perkongsian usaha sama kepada Mazlan yang juga Ahli Lembga Pengarah LTAW manakala Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Rozali Salleh bagi pihak Maidam.

TDM Berhad yang menceburi bidang perladangan kelapa sawit, turut berkecimpung dalam bidang perubatan dan kesihatan apabila mempunyai empat buah pusat kesihatan iaitu Kelana Jaya Medical Centre (KJMC), di Petaling Jaya Selangor, Kuantan Medical Centre (KMC), di Kuantan (Pahang), Kuala Terengganu Specialist (KTS) di sini dan Taman Desa Medical Centre Sdn Bhd (TDMC Hospital) di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment