Friday, August 16, 2013

Adun Jabi Minta Pembahagi Jalan Elak Kemalangan Maut


Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta segera membina pembahagi jalan di KM92 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu dekat Kampung Anak Ikan bagi mengelakkan lokasi berkenaan terus menjadi kawasan kemalangan maut.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata lokasi Kampung Anak Ikan terletak di jalan lurus sejauh 15 kilometer dari Kampung Guntung Luar hingga Kampung Renek adalah kawasan yang sering berlaku kemalangan.

Menurutnya jalan empat lorong itu tidak mempunyai pembahagi jalan menyebabkan ramai pemandu membawa kenderaan dengan laju serta memotong kenderaan lain.

"Sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini sahaja sebanyak lima kemalangan telah berlaku di lokasi ini yang menyebabkan enam nyawa terkorban," katanya kepada pemberita di Jabi, semalam.

Katanya, oleh kerana jalan berkenaan lurus dan lebar, kebanyakan kenderaan yang dipandu laju hingga menyebabkan berlaku beberapa kemalangan akibat kecuaian dan gagal mematuhi peraturan had laju.

Beliau seterusnya memgingatkan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan terutamanya di Kampung Anak Ikan supaya lebih berhati-hati memandangkan terdapat penempatan penduduk di situ yang membabitkan seramai 420 keluarga, tiga buah sekolah, masjid dan persimpangan jalan.

Katanya, pembahagi jalan dicadangkan kepada JKR adalah di jalan lurus sejauh tiga kilometer di Kampung Anak Ikan yang kerap berlakunya kemalangan.

Menurutnya dalam banyak kes kemalangan yang berlaku, siasatan polis mendapati kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dipandu laju dan memotong kenderaan lain.

No comments:

Post a Comment