Wednesday, August 7, 2013

Atlet Sukma Terengganu Terima Insentif Berjumlah RM757,000

Atlet Terengganu yang memenangi pingat pada temasya Sukan Malaysia 2013 (Sukma) bulan lepas menerima durian runtuh menjelang Aidilfitri apabila kerajaan negeri memberikan insentif wang tunai di Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat berkata kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM757,000 untuk insentif tersebut iaitu pingat emas RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Pada Sukma ke-16 di Lembah Klang, awal bulan lepas, Terengganu muncul naib juara di belakang Selangor selepas memperolehi 19 emas, 13 perak dan 13 gangsa.

Rozi berkata kegagalan kontinjen Terengganu mempertahankan gelaran juara buat kali kelima pada temasya kali ini adalah berikutan banyak sukan subjektif tidak dipertandingkan.

"Terengganu akan membuat persiapan lebih rapi lagi termasuk prestasi sukan yang lemah untuk menghadapi Sukma di Perlis tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada pemenang pingat Sukma 2013 semalam.

Turut hadir Ketua Kontinjen Sukma Terengganu 2913, Mohd Kamil Othman dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Zainal Abidin Hassan.

No comments:

Post a Comment