Friday, August 16, 2013

Enam Pelumba Muda Galas Cabaran Terengganu Di Tour De Borneo Ahad Ini

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) mempertaruhkan enam pelumba pelapis bagi menggalas cabaran pada kejohanan Tour De Borneo (ToB), Sabah selama lima hari bermula Ahad ini.

Mereka ialah Mohd Khairul Azizi Abdullah, Mohd Fahmi Irfan Zailani, Mohd Syairazi Fuad, Mohd Iskandar Fitri Mod Sabti, Asmuai Ali dan Mohd Nor Irfan Norin.

Ketua Jurulatih PLBT, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata walaupun pelumba yang diketengahkan itu masih muda berumur antara 15 hingga 18 tahun, namun mereka mempunyai bakat yang besar dan dapat melakukan yang terbaik sepanjang kejohanan itu.

Kejohanan itu merupakan latihan pemanas badan sebelum mereka menyertai beberapa kejohanan lebih besar termasuk di Indonesia pada pertengahan bulan September, katanya.

Menurut laporan, edisi kedua Jelajah Borneo itu menyaksikan seramai 120 pelumba basikal mengambil bahagian, termasuk juara Jelajah Malaysia 2013 Loh Sea Keong.

Pengerusi penganjurnya, Datuk Freddie Sua berkata Loh, yang mewakili pasukan OCBC Singapore Continental Cycling Team, bakal berdepan cabaran hebat pelumba tempatan serta luar negara seperti Sepanyol dan Jerman.

Beliau berkata bagaimanapun, pemenang ToB edisi pertama Michael Torckler dari Pure Black Racing Team tidak akan mempertahankan kejuaraannya selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan.

"Kejohanan ini disertai 20 pasukan dan akan melalui beberapa laluan mencabar iaitu pada peringkat keempat, yang membabitkan laluan ke Kundasang (kaki Gunung Kinabalu).

"Pelumba sudah merasai pengalaman ini pada kejohanan tahun lepas, dan ini juga peluang terbaik untuk mereka mengumpul mata bagi melayakkan diri bertanding di kejohanan lebih besar," katanya pada sidang media, kelmarin.

Sua berkata ToB akan bermula dari Kota Kinabalu ke Tuaran, dan melalui Kota Belud yang melibatkan jarak 108.7 kilometer manakala peringkat kedua perlumbaan meliputi laluan dari Taman Perdana, Tanjung Aru ke Papar (189.5 kilometer).

Peringkat ketiga pula menyaksikan peserta menempuh perjalanan sejauh 132.6 kilometer dari Penampang ke Inanam manakala pada peringkat berikutnya, pelumba berdepan pendakian sukar dari Kota Kinabalu ke Kundasang (147.1 kilometer) dan kemuncak kejohanan adalah dari Kundasang ke Kota Kinabalu (112 kilometer).

Beliau berkata hadiah wang tunai keseluruhan bagi kejohanan itu ialah RM120,000 bagi empat kategori iaitu juara keseluruhan (jersi kuning), raja pecut (jersi hijau), raja bukit (jersi merah) dan pelumba terbaik Asia. Pasukan benua terdiri daripada Synergy Baku Cycling Team (Azerbajian), Terengganu Cycling Team (Malaysia), Tabriz Petrochemical Team (Iran), CCN Cycling Team (Brunei), OCBC Singapore Continental Cycling Team (Singapura), Huon Salmon Genesys Wealth Advisers Pro Cycling (Australia), Team 7 Eleven-Road Bike Philipines (Filipina), Team LBC (Filipina), Polygon Sweet Nice (Ireland) dan RTS Racing Team (Taiwan).

Pasukan negara yang menyertai kejohanan itu ialah Malaysia, Uzbekistan, Kazakhstan dan Bahrain selain Sabah serta Terengganu bagi negeri manakala kelab pula ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Team Corbusier Sarawak (Malaysia) dan Customs Cycling Club (Indonesia).

No comments:

Post a Comment