Tuesday, August 20, 2013

Epic Sasar Untung Bersih Lebih RM100 Juta Tahun Ini


Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Epic), syarikat milik kerajaan negeri Terengganu yang menyediakan kemudahan logistik dan perkhidmatan pelabuhan menyasarkan keuntungan bersih lebih RM100 juta menjelang akhir tahun ini

Pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutif Ramli Shahul Hameed (kanan) berkata Epic yakin dapat mencapai sasaran itu kerana telah memperolehi untung bersih sebanyak RM60 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

"Untuk mencapai sasaran itu, Epic juga membuat penilaian semula dan mengoptimumkan semua aset yang kita ada termasuk kenderaan berat dan kenderaan lain di Pelabuhan Kemaman.

"Malah Epic kini sedang membangunkan kawasan seluas 640 ekar untuk pembinaan 12 gudang tambahan berikutan permintaan tinggi dari pihak industri yang berurusan dengan Epic," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Epic di kawasan industri Teluk Kalong di Kemaman, kelmarin.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Epic yang ditubuhkan pada 17 Januari 1981 dan bertukar menjadi sebuah syarikat awam sembilan tahun kemudiannya itu adalah antara penyedia perkhidmatan pelabuhan yang terbesar di Asia dengan kira-kira 12,000 pekerja ketika ini.


Ramli berkata dengan tambahan 12 gudang baharu di kawasan yang dikenali sebagai West Wharf itu, Epic menjangkakan pertambahan 3,000 pekerja pada tahun depan.

"Apabila siap kelak, ia akan memenuhi keperluan logistik bagi kilang besi di kawasan ini termasuk Eastern Steel dan beberapa kilang lagi yang sedang dibina," katanya.

Epic yang tersenarai dalam pasaran Bursa Saham Securities itu turut memiliki jaringan komunikasi jalur lebar sebagai nilai tambah kepada pelanggannya.

No comments:

Post a Comment