Wednesday, August 28, 2013

Fama Keluar Bantuan Hampir RM600,000 Dalam Program Azam Tani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengeluarkan bantuan hampir RM600,000 bagi program Azam Tani untuk peserta e-kasih di Terengganu sejak tahun lepas sehingga kini.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata bantuan dalam pelbagai bentuk peralatan termasuk ternakan itu bagi meningkatkan pendapatan isi rumah peserta e-kasih.

"Kita beri bermacam-macam bantuan berasaskan projek yang diusahakan oleh peserta e-kasih," katanya selepas program penyerahan bantuan berkenaan di Kuala Terengganu, semalam.

Program Azam Tani merupakan satu daripada empat komponen di bawah Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan kurang berkemampuan mengubah nasib mereka.

Hasan berkata sehingga hari ini, Fama telah membantu seramai 62 orang daripada 100 peserta e-kasih di daerah Besut dan Setiu yang membabitkan peruntukan tersebut.

"Kita menjangka bantuan ini akan meningkat sehingga berjuta ringgit apabila semua peserta e-kasih menerima bantuan masing-masing," katanya.

Beliau berkata untuk program hari ini, Fama memberi bantuan kepada lima peserta e-kasih yang membabitkan peruntukan melebihi RM40,000.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Hasan mahu para peserta menjadikan bantuan itu sebagai platform untuk mengubah nasib keluarga.

No comments:

Post a Comment