Sunday, August 4, 2013

Fama Terengganu Buka Enam Pasar Tani Khas Pra-syawal, Sasar Jualan RM800,000 Tahun Ini

Sempena menjelangnya Hari Raya Aidilfitri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu membuka enam Pasar Tani Pra-Syawal seluruh negeri yang bermula semalam hingga Rabu ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan keperluan.

Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama Ab Razak Ab Majid berkata Fama negeri sering mewujudkan pasar tani seperti itu pada setiap musim perayaan dan kali ini menyasarkan hasil jualan melebihi RM800,000 di negeri ini.

"Kami adakan enam lokasi Pasar Tani khas Pra-Syawal iaitu di Padang Hiliran di Kuala Terengganu; Kerteh dan Cukai (Kemaman); Jertih dan Kuala Besut (Besut) dan Kuala Berang (Hulu Terengganu).

"Kita yakin mampu capai sasaran itu memandangkan kuasa beli pengguna yang meningkat. Oleh itu kita letakkan sasaran ini melebihi hasil jualan pada hari-hari biasa yang biasanya sebanyak RM400,000 seminggu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pasar tani khas semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Nawi Mohamad dengan turut dihadiri Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh.

Ab Razak berkata jualan pasar tani Padang Hiliran dan daerah Kuala Terengganu dalam masa enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM6.1 juta.

Katanya daripada jumlah itu, Padang Hiliran mencatatkan jumlah hasil jualan yang tertinggi iaitu sebanyak RM5,118,483, diikuti Permint Jaya (RM1,339,633) dan Jalan Budiman (RM276,585). Beliau berkata nilai jualan keseluruhan negeri Terengganu dalam tempoh enam bulan tahun ini dianggarkan melebihi RM16.6 juta.

Dalam masa yang sama pada tahun lepas adalah RM10.9 juta.

"Sasaran nilai jualan pasar tani di Terengganu tahun ini dianggarkan RM26.5 juta. Tahun lepas mencatat sebanyak RM25.4 juta," katanya.

Beliau berkata di Terengganu terdapat 19 pasar tani dengan 989 usahawan iaitu empat di Kuala Terengganu, Kemaman (2), Besut (6), Hulu Terengganu (4), Marang (1) dan Dungun (2).

Beliau berkata Fama merancang untuk mewujudkan dua lagi pasar tani di Terengganu tahun ini iaitu di Bandar Baru Cheneh di Kemaman dan Kampung Pagar Besi di Batu Rakit di Kuala Terengganu untuk kemudahan 100 usahawan tempatan berniaga.

Ab Razak berkata Pasar Tani Pra-Syawal atau dikenali dengan nama 'Jimat Belanja Dapur' ini adalah untuk kemudahan orang ramai mendapatkan bekalan keperluan hari raya mereka yang secukupnya dengan menikmati harga istimewa yang ditawarkan.

Komoditi terlibat dalam jimat belanja dapur ini ialah ayam (penjimatan harga 70 sen seekor) dan ikan rakyat (ikan pelaling, sardin dan cencaru) pengurangan harga sebanyak 5 hingga 10 peratus sekilogram.

No comments:

Post a Comment