Wednesday, August 28, 2013

Hidup Atau Mati - RM2 Bagi Seekor Tikus


Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memperhebat kempen membasmi tikus, terutama di kawasan berisiko seperti kedai makan dan pasar, termasuk menawarkan bayaran RM2 bagi seekor tikus sama ada hidup atau mati.

Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, sejak fasa pertama kempen bermula dari Oktober 2012 hingga awal Januari lalu, sejumlah 1,162 ekor tikus telah diserahkan oleh orang ramai kepada MBKT. 

"Orang ramai di bandar raya ini boleh menyerahkan haiwan berkenaan di kaunter kami yang dibuka di Padang Negara Cabang Tiga dan Dewan Tunku Abdul Rahman bermula minggu depan.

"Ini sebagai galakan kepada mereka untuk sama-sama menjaga kebersihan bandar raya ini, sekali gus dapat mengelak terkena penyakit leptospirosis yang boleh membawa maut," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kawalan Tikus Program Gotong-Royong Perdana 1Malaysia peringkat daerah di sini kelmarin.

Selain MBKT, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) turut menawarkan ganjaran dengan kadar yang sama (RM2) kepada orang ramai yang menyerahkan haiwan perosak itu.

Menurut beliau, pihaknya membuka kembali kaunter tikus bagi membolehkan orang ramai menyerahkan haiwan itu kepada MBKT.

"Kita akan mengenal pasti laluan tikus dan selepas itu menutup lubang berkenaan dengan simen supaya tiada lagi pembiakan tikus di kawasan bandar raya ini, terutama di pasar.

''Selain itu, aktiviti kawalan turut melibatkan semburan asap ke dalam lubang tikus, pemasangan perangkap dan meracun," katanya.

No comments:

Post a Comment