Friday, August 16, 2013

Juru Kimpal Kena Belasah Sampai Mati di Pak Katak

Seorang juru kimpal meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama enam hari berikutan cedera parah di kepala akibat diserang sekumpulan mat rempit pada 1 Syawal lalu di Kampung Pak Katak, Batu Enam, di Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa berusia 25 tahun, dari Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.15 petang kelmarin, semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Jelasnya, dalam kejadian antara jam 4 hingga 5 pagi itu, mangsa dipercayai dibelasah dengan topi keledar dan dipukul oleh kumpulan mat rempit yang terdiri daripada 20 hingga 30 orang.

“Sebelum kejadian, mangsa bersama kira-kira 15 rakannya sedang melepak berhampiran lokasi kejadian, manakala kumpulan mat rempit tersebut juga berada tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebiji mercun telah dibaling ke arah kumpulan mat rempit terbabit, menyebabkan ahli kumpulan itu naik angin dan menuduh mangsa bersama rakannya yang melakukan perbuatan tersebut itu,” katanya, semalam.

Manoharan berkata, disebabkan terlalu marah, ahli kumpulan mat rempit itu telah menyerang mangsa yang kononnya dianggap sebagai ketua dalam kumpulannya.

“Mangsa yang bekerja di Dungun dan pulang ke kampung untuk berhari raya dibelasah dengan teruk menggunakan topi keledar sehingga cedera parah di kepala, mengalami pendarahan dalam otak dan patah tulang pipi di bahagian kanan.

“Kejadian tersebut disaksikan sendiri oleh salah seorang ahli keluarga mangsa yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, seramai 15 suspek berusia antara 18 hingga 28 tahun telah ditahan sehingga semalam, bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Manoharan memohon kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

SH Online

No comments:

Post a Comment