Friday, August 23, 2013

Kebersihan: PBT Diminta Tingkat Penguatkuasaan

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta membuat pemantauan lebih kerap dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pengusaha restoran atau kedai makan terutamanya di kawasan tumpuan pelancong yang mengabaikan aspek kebersihan premis dan penyediaan makanan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mohd. Mahdi Musa berkata, tahap kesedaran masih rendah dan sikap mereka yang mungkin hanya mementingkan keuntungan akan mencalarkan imej negeri ketika mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2013.

Beliau menarik perhatian, beberapa kawasan yang merupakan destinasi tumpuan pelancong terutamanya di sekitar ibu negeri masih berada pada tahap yang kurang memuaskan termasuk medan selera di pesisir pantai Batu Buruk.

Berdasarkan pengalaman sendiri, katanya, terdapat pengusaha yang menggunakan gelas 'berkarat' yang disifatkan boleh menjejaskan imej masyarakat dan negeri.

"Saya sendiri tidak sanggup nak minum di kawasan itu kerana gelasnya 'berkarat' dan terpaksa minum air kelapa sahaja," katanya.

Mohd. Mahdi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sijil tamat kursus kepada para peserta Kursus Latihan Pengendali Makanan di Hotel Grand Puteri di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kursus berkenaan dikendalikan oleh Kolej Tesdec dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan PBT. Yang turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec), Che Razali Adis dan Pegawai Kesihatan Kuala Terengganu, Mohamad Muda.

Pada majlis berkenaan seramai 32 orang pengusaha makanan, pemilik kedai makan dan pengusaha kantin telah menerima sijil tamat kursus yang disampaikan oleh Mohd. Mahdi selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan PBT berkaitan perkara itu dalam masa terdekat bagi mengelakkan isu tersebut berlarutan dan boleh memberi kesan negatif kepada para peniaga sendiri. 

"Langkah perlu diambil usaha untuk memberi peringatan kepada pengusaha agar tidak alpa sekiranya perniagaan mereka telah maju yang mungkin menyebabkan mereka terlupa tentang aspek kebersihan," katanya.

Menyentuh mengenai peranan Tesdec, katanya, institusi latihan itu telah dilantik mengendalikan Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) oleh Kementerian Kesihatan sejak 2007 dan satu-satunya SLPM milik kerajaan negeri.

Sehingga ini, katanya, kira-kira 1,200 orang peserta telah menjalani kursus berkenaan yang diberikan secara percuma melalui 14 siri kursus setahun.

"Pemilik sijil SLPM diiktiraf di seluruh negara dan tanpanya mereka tidak dibenarkan untuk membuka kedai makan atau berkaitan dengannya," kata beliau.

No comments:

Post a Comment