Tuesday, August 6, 2013

Kepentingan Kuil Jadi Sebab Pembunuhan Pengasas Bank Arab-Malaysia?

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah menunjukkan gambar suspek utama pembunuhan Pengasas Bank Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi, hari ini. 

Dua wanita pemegang amanah kuil Kuan Yin di Jalan Ceylon di Kuala Lumpur ditahan dan sedang disoal siasat.
Ia bagi menjelaskan motif pembunuhan pengasas Bank Arab-Malaysia Hussain Ahmad Najadi yang mati ditembak di di tempat letak kereta kuil tersebut pada 29 Julai lalu.

Kedua-dua wanita itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang semalam dekat kuil tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata polis turut memburu seorang lagi suspek, Kong Swee Kwan, 44.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kuala Lumpur,hari ini.


Katanya, suspek dikenal pasti berdasarkan soal siasat polis terhadap dua yang lain termasuk seorang pemandu teksi yang masih ditahan reman.

Pada Isnin, polis turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai bersama dengan pemandu teksi tersebut ketika kejadian. Polis menyerbu rumah suspek di Selangor pada pagi Isnin tetapi dia tiada di rumahnya.

Lelaki tersebut menyerah diri di balai polis pada pukul 10 malam Isnin.

Ku berkata pemandu teksi yang ditahan Selasa lepas di Sri Petaling menunjukkan polis sebuah rumah di Brickfields sebelum polis menemui pistol jenis Walther 9mm di dalam peti surat rumah itu.

"Bagaimanapun, pistol itu tidak digunakan dalam kes pembunuhan Hussain," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai membantu menjejaki suspek utama kes itu, Kong Swee Kuan, 44, yang sebelum ini dikenali sebagai Sei Ngan Chai atau Ah Chian (nama samaran).

Ku berkata, siasatan mendapati Hussain membantu melindungi kepentingan kuil itu dalam rundingan perjanjian tanah yang sedang diadakan. "Kami difahamkan, Hussain terlibat dalam rundingan supaya tanah tokong itu tidak diusik, dijual atau dirobohkan.

Maknanya mangsa cuba menyelamat atau melindungi tokong itu. "Namun, ini hanyalah maklumat awal. Siasatan lanjut akan kita jalankan bagi mencari motif sebenar kes pembunuhan ini," katanya sambil menambah isteri Hussain belum dapat memberi keterangan berikutan kecederaan yang dialami dalam kejadian tembakan itu.

Kuil tersebut terletak dalam tanah yang terlibat dalam perjanjian itu.

Katanya, penahanan dua wanita hari ini dijangka dapat memberi maklumat penting berhubung motif pembunuhan.

Hussain Najadi, 75, mati dan isterinya Cheong Mei Kuen, 49, cedera apabila mereka ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon pada 29 Julai lalu.

Hussain terkena dua das tembakan di dada dan mati di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan.

Bernama & mStar Online

No comments:

Post a Comment