Friday, August 23, 2013

Lebih 300 Berkumpul Di Istana Kehakiman


Lebih 300 orang berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman seawal 7 pagi semalam bagi mengikuti perkembangan kes berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam sebuah akhbar mingguan Katolik 'The Herald'.

Kumpulan itu termasuk pertubuhan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Jalur Tiga Malaysia (Jati), Persatuan Cina Muslim Malaysia dan juga wakil paderi.

Pelbagai aksi dapat dilihat daripada mereka yang berkumpul di pekarangan itu kerana tidak dapat masuk ke dalam bilik bicara yang penuh sesak sejak pukul 8 pagi.

Bagaimanapun keadaan terkawal dengan pihak polis mengawal di kawasan itu. Ada di antara mereka yang duduk bersila sambil berselawat, membaca al-Quran, bernasyid dan memegang sepanduk.

Ketika ditanya seorang daripada mereka berkata mereka hadir di mahkamah semalam bagi memberi sokongan terhadap isu berkaitan agama Islam.

Turut juga kelihatan di mahkamah ialah presiden Jati Datuk Dr Hasan Ali, presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan juga wakil paderi.

Mahkamah memulakan prosiding pukul 9.40 pagi dan menangguhkan keputusannya pukul 3 petang.

Selepas mahkamah selesai memberi keputusan, kedengaran laungan takbir dari luar bilik bicara, bagaimanapun polis mahkamah menasihati mereka supaya bersurai dan berkumpul di luar mahkamah.

No comments:

Post a Comment